PROGRAM RAHMAH RAKYAT PEMAHAMAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM PERINGKAT DAERAH TENOM

13 JANUARI 2024, Sabtu - Ceramah bertajuk ‘Sulh Solusi Perdamaian di Mahkamah Syariah’ telah berjaya disampaikan oleh Tuan Mohd Hafiidz Bin Azman, Pegawai Sulh Mahkamah Syariah Daerah Keningau kepada kumpulan masyarakat di Pekan Tenom melalui Program Rahmah Rakyat Pemahaman Undang-undang Keluarga Islam Siri 1 Tahun 2024 anjuran Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah pada hari ini.

Dalam sesi ceramah, para peserta telah diberikan penerangan berkaitan fungsi dan peranan Majlis Sulh di Mahkamah Syariah serta kelebihan-kelebihan penyelesaian kes melalui prosiding Majlis Sulh. Selain itu, para peserta juga turut mengajukan pelbagai soalan berhubung topik pembentangan sekali gus menarik minat dan memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya untuk memilih hadir ke Majlis Sulh sebagai medium penyelesaian pertikaian terbaik di Mahkamah Syariah.

Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan ucapan pembukaan oleh wakil pemimpin setempat dan diteruskan dengan sesi ceramah undang-undang dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan Jabatan Bantuan Guaman Sabah. Turut hadir Tuan Mohd Yasser Bin Saraffudin, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Keningau dan beberapa Pembantu Syariah yang membuka kaunter pertanyaan dan pameran gegantung paparan info berkaitan unit Sulh.

Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sesi bergambar beramai-ramai sekitar jam 1.00 tengah hari.